Keropok Amplang Bikmie Berpotensi Berkembang di Peringkat Antarabangsa

Keropok Amplang Bikmie adalah salah satu produk ikonik bandar ini yang berpotensi dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan memberikan bantuan dalam usaha memperkenalkan produk itu di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan terdapat permintaan yang baik terhadap produk itu dalam kalangan pelanggan di Singapura dan Australia.

“Kini, Rosmie Snack Industry Sdn Bhd (RSI) mengeksport produk itu menggunakan jenama Bikmie di Semenanjung Malaysia. Produk itu juga dijual dalam pasaran tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, keupayaan perniagaan RSI bertahan lebih daripada 30 tahun dalam industri makanan adalah satu kejayaan yang harus dijadikan contoh oleh syarikat lain.

Katanya, RSI turut berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi Sabah secara keseluruhan, khususnya di Tawau.

“Keropok Amplang Bikmie berjaya bertahan seterusnya menjadi simbol kepada Tawau apabila menjadi daerah pertama mengeluarkan produk komersil seumpamanya.

“Sebagai Ahli Parlimen Tawau, saya berbangga daerah ini berjaya melahirkan satu lagi usahawan bumiputera yang berjaya,” katanya.

Christina turut menggalakkan Pengarah RSI Rozekin Suratman untuk mewujudkan bilik pameran jualan di sekitar kilang pengeluaran produk berkenaan.

Katanya, pameran itu boleh dijadikan destinasi pelancongan baharu di Tawau dan boleh dimasukkan dalam pakej pelancongan Cuti-Cuti Tawau melalui kerjasama dengan pengusaha pelancongan.

“Saya juga mencadangkan keropok ini diberikan sebagai cenderahati kepada pelancong yang datang ke Tawau.

“Bagaimanapun, RSI mesti bersedia sepenuhnya untuk memenuhi permintaan pelancong dengan keropok ini,” katanya.

 

Original article on Utusan Borneo

en_USEnglish